Tentang Kami
Polisi Integriti
Polisi Integriti dan Antirasuah Diversatech Sdn Bhd
POLISI PEMBERIAN & PENERIMAAN HADIAH
DIVERSATECH (M) SDN BHD
1.0 PENDAHULUAN
Diversatech (M) Sdn Bhd amat komited mendukung hasrat kerajaan untuk mencapai visi “Ke Arah Negara Bebas Rasuah” seperti yang termaktub di dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 29 Januari 2019 yang lalu.
2.0 TUJUAN
Sebagai sebuah syarikat yang berdaya saing, sudah pasti Diversatech (M) Sdn Bhd tidak dapat mengelak dengan amalan memberi dan/atau menerima hadiah yang telah menjadi budaya sehingga ia menyukarkan untuk dibezakan sama ada pemberian dan/atau penerimaan hadiah tersebut bersifat ikhlas atau sebaliknya.
Oleh demikian, polisi ini bertujuan sebagai garis panduan dan rujukan kepada Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Staf Diversatech (M) Sdn Bhd dalam segala urusan pemberian ataupun penerimaan hadiah sepanjang tempoh perkhidmatan di Diversatech (M) Sdn Bhd.
3.0 SKOP POLISI
Polisi ini adalah terpakai kepada semua ahli-ahli lembaga pengarah dan staf Diversatech (M) Sdn Bhd yang sedang berkhidmat termasuk ahli-ahli keluarga dan pihak-pihak yang berurusan dengan Diversatech (M) Sdn Bhd.
4.0 TAFSIRAN
“Ahli-ahli Lembaga Pengarah” terdiri daripada Ahli-Ahli Lembaga Pengarah di Diversatech (M) Sdn Bhd.
“Staf” ertinya mana-mana orang yang dilantik dan digajikan oleh Diversatech (M) Sdn Bhd sama ada berstatus tetap/kontrak/sambilan yang melaksanakan tugas-tugas sebagai pekerja di Diversatech (M) Sdn Bhd serta tertakluk kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh syarikat. Ia juga boleh ditakrifkan sebagai “Pegawai Badan Awam” seperti takrifan di dalam Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
“Peraturan-peraturan” ertinya termasuk Peraturan-Peraturan Kelakuan Dan Tatatertib Diversatech (M) Sdn Bhd dan sebarang pindaan atau perubahan atau peraturan baru atau mana-mana peraturan yang dikeluarkan oleh Diversatech (M) Sdn Bhd dan FELCRA Berhad dari masa ke semasa.
“Hadiah” ertinya termasuk wang, harta alih dan tak alih, hospitaliti, kenderaan, tambang percuma, saham, tajaan, tiket loteri, kemudahan perjalanan, hiburan, perkhidmatan, keahlian kelab, apa-apa bentuk diskaun/komisen, hamper, barang kemas, perhiasan, apa-apa pemberian, cenderamata atau apa-apa sahaja yang bernilai yang diberi kepada atau diterima oleh staf itu, isterinya ahli keluarganya atau mana-mana orang lain bagi pihaknya daripada mana-mana orang, dengan tiada balasan (without consideration) atau balasan yang diketahui staf itu tidak mencukupi ataupun mencukupi. Hadiah di dalam polisi ini juga boleh disama ertikan dengan tafsiran “Suapan” seperti yang dinyatakan di dalam Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
“Syarikat” ertinya organisasi Diversatech (M) Sdn Bhd.
“FELCRA Berhad” ertinya sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 2016, yang mana kerajaan mempunyai kawalan ke atasnya. Ia juga boleh ditakrifkan sebagai sebuah “Badan Awam” seperti takrifan di dalam Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
“Ahli Keluarga” ertinya ibubapa, ibubapa mertua, suami, isteri-isteri, anak-anak (anak kandung, tiri atau angkat), menantu, adik-beradik dan cucu kepada Ahli Lembaga Pengarah dan staf Diversatech (M) Sdn Bhd yang masih berkhidmat.
“Pengarah Urusan” ertinya Pengarah Urusan Diversatech (M) Sdn Bhd atau mana-mana jawatan yang setara dengannya.
“Meragukan” yang boleh ditafsirkan sebagai sesuatu perasaan yang menaruh syak atau ketidakpastian jika sesuatu perlakuan tersebut dilakukan boleh bertentangan dengan mana-mana undang-undang, polisi atau peraturan bertulis.
5.0 PEMBERIAN DAN PENERIMAAN HADIAH YANG DIBENARKAN
Ahli-ahli lembaga pengarah, staf dan/atau ahli keluarga boleh memberi dan/atau menerima apa-apa hadiah tanpa mendapat kelulusan daripada Pengarah Urusan dengan syarat-syarat berikut:
Hadiah berupa barangan yang bernilai rendah berupa produk promosi seperti pen, diari, buku catitan, produk-produk usahawan untuk tujuan promosi, kalender, planner dan yang setaraf dengannya.
Hadiah sebagai tanda terima kasih atau penghargaan atas sumbangan atau jasa yang diberikan seperti cenderahati penceramah, lawatan kunjungan hormat dan apa-apa yang setarafnya, yang mana nilai anggarannya tidak melebihi RM300.00.
Apa-apa hadiah atau tajaan daripada kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri seperti biasiswa pendidikan, penganugerahan pingat dan apa-apa setarafnya.
Apa-apa hadiah atau tajaan daripada agensi swasta yang mana agensi tersebut tidak mempunyai hubungan tugas rasmi dengan staf ataupun hubungan perniagaan dengan Diversatech (M) Sdn Bhd.
Apa-apa hadiah atau tajaan daripada yayasan, persatuan atau mana-mana Kesatuan yang ditubuhkan untuk manfaat staf Diversatech (M) Sdn Bhd atau FELCRA Berhad.
Hadiah yang diterima atas dasar budaya tertentu seperti hari perayaan, majlis perkahwinan dan lain-lain yang mana niat pemberian hadiah tersebut adalah tidak meragukan.
Hadiah yang cepat rosak seperti buah-buahan, kuih-muih, minuman ringan, bunga dan sebagainya yang mana nilai dan bilangan jumlah hadiah tersebut tidak meragukan.
6.0 LARANGAN PENERIMAAN HADIAH
Ahli Lembaga Pengarah dan staf Diversatech (M) Sdn Bhd termasuk ahli keluarga adalah sama sekali DILARANG MENERIMA apa-apa hadiah daripada kontraktor, pembekal, vendor, rakan niaga serta apa-apa sumbangan yang mana pemberi tersebut mempunyai hubungan tugas rasmi dengan ahli lembaga pengarah dan staf tersebut.
7.0 PEMBERIAN DAN/ATAU PENERIMAAN HADIAH YANG MENJADI KESALAHAN
Pemberian dan/atau penerimaan hadiah oleh staf Diversatech (M) Sdn Bhd atau ahli keluarga akan menjadi SATU KESALAHAN jika ia diberi dan/atau diterima secara atau dengan niat rasuah (corruptly or with corruptly) dengan merujuk kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
8.0 PEMBERIAN DAN/ATAU PENERIMAAN HADIAH YANG SUKAR DITOLAK
Di dalam melaksanakan tugas, kadang kala sukar bagi seseorang untuk menolak sesuatu pemberian hadiah kerana jika menolak pemberian tersebut akan memalukan si pemberi atau akan menimbulkan keadaan serba salah. Selagi pemberian hadiah tersebut tidak menjadi kesalahan seperti dinyatakan dalam Perkara 7, polisi ini membenarkan pemberian dan/atau penerimaan tersebut atas dasar menjaga hubungan baik di antara pemberi dan penerima (mewakili syarikat). Walaubagaimanapun, penerima hadiah tersebut tetap perlu melapor dan mendapatkan kelulusan Pengarah Urusan Diversatech (M) Sdn Bhd jika pemberian dan/atau penerimaan itu tertakluk seperti Perkara 5.
9.0 PEMBERIAN DAN/ATAU PENERIMAAN HADIAH MELIBATKAN AHLI LEMBAGA PENGARAH SYARIKAT
Bagi situasi ahli-ahli lembaga pengarah yang memberi dan/atau menerima hadiah, pelaporan dan kelulusan adalah diletakkan di bawah tanggungjawab Pengerusi Lembaga Pengarah Diversatech (M) Sdn Bhd.
11.0 PENUTUP
Polisi ini akan menjadi garis panduan dan rujukan kepada semua ahli lembaga pengarah dan staf Diversatech (M) Sdn Bhd di dalam melaksanakan tugasan harian tanpa membelakangkan halatuju syarikat sebagai sebuah organisasi yang berdaya saing.
Polisi ini berkuatkuasa mulai 01 Ogos 2025.
HUBUNGI KAMI
Pegawai Integriti
Diversatech (M) Sdn Bhd
A-01-02, Jalan Medan PB5, Paragon Points, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor
Tel : +603 8926 3103
Faks : +603 8925 3103
Email : [email protected]
POLISI PEMBERI MAKLUMAT
DIVERSATECH (M) SDN BHD
1.0 PENDAHULUAN
Diversatech (M) Sdn Bhd sentiasa berusaha melaksanakan urusannya dengan penuh komited selaras dengan aspirasi pengurusan tertinggi iaitu Pemacuan Prestasi, Responsif, Displin dan Etika (Performance Driven, Responsive, Integrity, Discipline and Ethics) serta pada masa yang sama terus beriltizam untuk mencapai tahap keberkesanan dan kecemerlangan yang terbaik di dalam setiap urusan rasmi.
Oleh itu, adalah penting agar Diversatech (M) Sdn Bhd dimaklumkan mengenai apa-apa kelakuan tidak wajar (kemudian selepas ini dirujuk sebagai “KTW”) yang telah atau yang akan berlaku, yang dikhuatiri akan menghalang pencapaian aspirasi tersebut.
Dalam konteks pengurusan aduan, polisi ini adalah salah satu amalan pengurusan terbaik (Best Management Practices) dalam sektor perladangan yang mana ia selaras dengan piawaian kelestarian (Sustainability Standard) iaitu Piawaian Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO).
Atas dasar itu, Polisi Pemberi Maklumat Diversatech (M) Sdn Bhd (kemudian selepas ini dirujuk sebagai “Polisi”) akan memperuntukkan prosedur bagi sebarang aduan atau laporan yang dikemukakan dengan niat baik untuk disiasat dan ditangani secara objektif, di samping memastikan pemberi maklumat dapat dilindungi sebaiknya daripada sebarang perbuatan tindak balas hasil pendedahan maklumat tersebut.
2.0 TUJUAN
Polisi ini diwujudkan adalah bertujuan untuk menggalakkan pemberi maklumat di kalangan warga Staf mahu pun orang awam untuk membuat pendedahan KTW dengan memelihara kerahsiaan maklumat sulit dan memudahkan pemberi maklumat dalam membuat pendedahan KTW kepada agensi penguatkuasaan.
3.0 TAFSIRAN
“Kelakuan Tidak Wajar (KTW)” ertinya apa-apa kelakuan yang jika terbukti, menjadi suatu kesalahan tatatertib atau kesalahan-kesalahan jenayah lain.
“Anak-anak syarikat” ertinya anak-anak syarikat FELCRA Berhad yang mana FELCRA Berhad mempunyai kepentingan ekuiti di dalam syarikat tersebut.
“Staf” ertinya mana-mana orang yang dilantik dan digajikan oleh Diversatech (M) Sdn Bhd sama ada berstatus tetap/kontrak/sambilan yang melaksanakan tugas-tugas sebagai pekerja di Diversatech (M) Sdn Bhd serta tertakluk kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh syarikat. Ia juga boleh ditakrifkan sebagai “Pegawai Badan Awam” seperti takrifan di dalam Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
“Peraturan” atau “Peraturan-peraturan” ertinya termasuk Peraturan-Peraturan Kelakuan Dan Tatatertib syarikat dan sebarang pindaan atau perubahan atau peraturan baru atau mana-mana peraturan yang dikeluarkan oleh Diversatech (M) Sdn Bhd ataupun FELCRA Berhad dari masa ke semasa.
“Syarikat” ertinya organisasi Diversatech (M) Sdn Bhd.
“FELCRA Berhad” ertinya sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 2016, yang mana kerajaan mempunyai kawalan ke atasnya. Ia juga boleh ditakrifkan sebagai sebuah “Badan Awam” seperti takrifan di dalam Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
“Sanak-saudara” ertinya Ibubapa, ibubapa mertua, suami, isteri-isteri, anak-anak (anak kandung, tiri atau angkat), menantu, adik-beradik dan cucu kepada Ahli Lembaga Pengarah dan staf Diversatech (M) Sdn Bhd yang masih berkhidmat. Takrifan ini juga boleh disama ertikan dengan takrifan “saudara” di dalam Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
“Pengarah Urusan” ertinya Pengarah Urusan Diversatech (M) Sdn Bhd atau mana-mana jawatan yang setara dengannya.
“Pihak Ketiga” yang boleh ditafsirkan sebagai mana-mana pihak sama ada syarikat, persatuan atau individu yang mempunyai hubungan perniagaan/rasmi dengan Diversatech (M) Sdn Bhd sama ada sebagai pembekal (vendor), sub-kontraktor, persatuan dan lain-lain.
4.0 SKOP POLISI
Polisi ini adalah terpakai kepada semua warga Diversatech (M) Sdn Bhd termasuk ahli-ahli lembaga pengarah dan staf Diversatech (M) Sdn Bhd.
Polisi ini adalah terpakai kepada mana-mana individu atau organisasi yang berurusan rasmi dengan Diversatech (M) Sdn Bhd.
Polisi ini adalah terpakai kepada semua warga staf dan ahli-ahli lembaga pengarah Diversatech (M) Sdn Bhd yang mana polisi ini diuruskan oleh Pegawai Integriti Diversatech (M) Sdn Bhd ataupun Kumpulan Integriti FELCRA Berhad.
5.0 PERANAN & TANGGUNGJAWAB
Pemberi Maklumat / Pengadu
Pemberi maklumat dikehendaki mendedahkan apa-apa maklumat jika beliau mengesyaki atau mempercayai yang munasabah staf syarikat telah melakukan apa-apa salahlaku jenayah atau yang melanggar apa-apa peraturan syarikat.
Pemberi maklumat atau pengadu tidak sepatutnya mengemukakan apa-apa maklumat atau aduan yang mana beliau tahu atau sedar ia adalah palsu atau tidak berasas atau sengaja direka bagi tujuan memburukkan imej individu lain atau syarikat. Maklumat atau aduan ini jika dilaporkan adalah merupakan satu perbuatan salah laku yang mana boleh diambil tindakan di bawah mana-mana peraturan syarikat yang bersesuaian.
Pegawai Integriti Diversatech (M) Sdn Bhd
Pegawai Integriti bertanggungjawab menerima, mengurus dan mendaftarkan aduan atau maklumat berkaitan KTW ini.
Pegawai Integriti bertanggungjawab mengemukakan cadangan selanjutnya kepada Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM) untuk tindakan sewajarnya dalam tempoh 14 hari dari tarikh maklumat atau aduan diterima.
Pegawai Integriti bertanggungjawab dan berperanan sebagai urusetia kepada JMM.
Bagi aduan atau maklumat bukan berkaitan KTW, Pegawai Integriti perlu terus menyalurkan aduan atau maklumat tersebut ke Ketua Pusat Kos atau Pegawai Bertanggungjawab tindakan selanjutnya tanpa melalui JMM.
6.0 KERAHSIAAN IDENTITI PEMBERI MAKLUMAT
Bagi tujuan melindungi identiti pemberi maklumat, syarikat akan mengambil langkah-langkah menghadkan jumlah staf yang mempunyai akses kepada identiti dan laporan pemberi maklumat tersebut. Hubungan dengan pemberi maklumat akan diminimumkan.
Syarikat akan mengekalkan kerahsiaan identiti pemberi maklumat melainkan pendedahan tersebut diperlukan di sisi undang-undang.
Syarikat tidak akan lagi bertanggungjawab mengekalkan kerahsiaan identiti pemberi maklumat jika pemberi maklumat tersebut sendiri mendedahkan identiti beliau. Selain itu, segala perlindungan di bawah polisi ini turut terbatal kepada pemberi maklumat tersebut.
7.0 PERLINDUNGAN PEMBERI MAKLUMAT
Pemberi maklumat perlu melaporkan kepada JMM melalui Pegawai Integriti jika terdapat risiko tindak balas yang akan atau telah berlaku disebabkan pendedahan maklumat atau aduan KTW tersebut.
Syarikat tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindak balas kepada pemberi maklumat dan akan memberi perlindungan secukupnya jika diperlukan.
Perlindungan yang diberikan oleh syarikat adalah terpakai kepada tindak balas yang disebabkan pendedahan maklumat atau aduan oleh pemberi maklumat tersebut.
8.0 PROSES PEMBERIAN MAKLUMAT
Maklumat diterima melalui mana-mana saluran rasmi seperti yang dinyatakan di Perkara 9.0.
Pegawai Integriti yang bertindak sebagai Urusetia JMM perlulah dengan segera mendaftarkan maklumat tersebut untuk dibentangkan kepada JMM dalam tempoh 14 hari dari tarikh maklumat diterima.
JMM perlulah membuat keputusan dengan kadar segera berkaitan pendedahan maklumat tersebut sama ada untuk tindakan disalurkan kepada Ketua Pegawai Integriti FELCRA Berhad atau tindakan siasatan dalaman.
Pegawai penyiasat perlulah dilantik dengan segera daripada Bahagian Sumber Manusia syarikat bagi tujuan siasatan dalaman.
9.0 SALURAN PEMBERIAN MAKLUMAT
Email: [email protected] atau [email protected]
Pegawai Integriti, Diversatech (M) Sdn Bhd, A-01-02, Jalan Medan PB5, Paragon Points, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor
Tel: +603 8926 3103 | Faks: +603 8925 3103
Ketua Pegawai Integriti Kumpulan FELCRA Berhad, Wisma Felcra, Lot 4780, Jalan Rejang, Setapak Jaya, Peti Surat 12254, 50772 Kuala Lumpur, Malaysia
Email: [email protected] | Tel: 03-4145 5274
10.0 PENUTUP
Dengan kewujudan polisi ini, salah laku di dalam syarikat dapat didedahkan melalui saluran yang lebih efektif dan telus di samping dapat melindungi pemberi-pemberi maklumat daripada apa-apa tindak balas atas pendedahan tersebut.
Polisi ini berkuatkuasa mulai 01 OGOS 2025.
HUBUNGI KAMI
Pegawai Integriti, Diversatech (M) Sdn Bhd
A-01-02, Jalan Medan PB5, Paragon Points, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor
Tel : +603 8926 3103
Faks : +603 8925 3103
Email : [email protected]
ATAU
Ketua Pegawai Integriti Kumpulan FELCRA BERHAD
Wisma Felcra, Lot 4780, Jalan Rejang, Setapak Jaya, Peti Surat 12254, 50772 Kuala Lumpur, Malaysia
Email : [email protected]
Tel : 03-4145 5274
POLISI KONFLIK KEPENTINGAN
DIVERSATECH (M) SDN BHD
PENDAHULUAN
Ahli Lembaga Pengarah dan staf syarikat Diversatech (M) Sdn Bhd ketika dalam melaksanakan tugas rasmi berkemungkinan akan menghadapi situasi konflik kepentingan yang mana beliau tidak dapat bertindak secara objektif dan telus; sekaligus sukar membuat keputusan secara adil dan saksama berkaitan urusan rasmi.
Sebagai sebuah “Badan Awam” seperti yang ditakrifkan di dalam Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, mana-mana anggota Syarikat sama ada Ahli Lembaga Pengarah atau staf Diversatech (M) Sdn Bhd adalah terdedah kepada kesalahan-kesalahan seperti contoh di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 iaitu salahguna kuasa, dan lain-lain.
Oleh demikian, polisi ini adalah satu garis panduan dalam mengurus konflik kepentingan yang wujud di Diversatech (M) Sdn Bhd.
TUJUAN
Polisi ini diwujudkan adalah bertujuan untuk memberikan panduan kepada Ahli Lembaga Pengarah dan Staf Diversatech (M) Sdn Bhd di dalam menangani isu Konflik Kepentingan yang mungkin timbul ketika melakukan tugas-tugas rasmi.
PEMATUHAN
Polisi ini wajib dipatuhi dan hendaklah dijadikan panduan oleh pemegang taruh, rakan niaga atau mana-mana individu, ejen atau organisasi yang berurusan dengan Diversatech (M) Sdn Bhd.
TAKRIFAN
Konflik Kepentingan
Apa-apa tingkah laku atau cara yang boleh menyebabkan anggota syarikat tersebut telah membiarkan kepentingan peribadinya bercanggah dengan kepentingan Syarikat; atau menggunakan kedudukan jawatannya bagi faedahnya sendiri, ahli keluarga staf atau sekutunya.
Staf
Ertinya mana-mana orang yang dilantik dan digajikan oleh Diversatech (M) Sdn Bhd sama ada berstatus tetap, kontrak atau sambilan yang melaksanakan tugas-tugas sebagai pekerja dan tertakluk kepada mana-mana peraturan-peraturan Diversatech (M) Sdn Bhd. Ia juga boleh ditakrifkan sebagai seorang “Pegawai Badan Awam” seperti takrifan di dalam Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Syarikat
Ertinya organisasi Diversatech (M) Sdn Bhd.
TAKRIFAN (SAMBUNGAN)
Diversatech (M) Sdn Bhd
Ertinya sebuah Anak Syarikat FELCRA Berhad dimana FELCRA Berhad merupakan Syarikat Berkepentingan Kerajaan yang didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia, yang mana kerajaan mempunyai kawalan ke atasnya. Ia juga boleh ditakrifkan sebagai sebuah “Badan Awam” seperti takrifan di dalam Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Ahli Keluarga
Ertinya Ibubapa, ibubapa mertua, suami, isteri, anak-anak (anak kandung, tiri atau angkat), menantu, adik-beradik dan cucu kepada Ahli Lembaga Pengarah dan staf Diversatech (M) Sdn Bhd yang masih sedang berkhidmat.
Pihak Ketiga
Kontraktor, vendor, pembekal, organisasi, persatuan atau mana-mana pihak yang berurusan rasmi dengan Diversatech (M) Sdn Bhd.
Sekutu
Tafsiran Sekutu adalah sepertimana maksud di bawah Seksyen 3 Akta SPRM 2009 (Akta 694).
SKOP & DASAR
Diversatech (M) Sdn Bhd sentiasa berusaha untuk menerapkan serta memperkukuhkan nilai-nilai Pemacuan Prestasi, Responsif, Integriti, Displin dan Etika di kalangan Staf bagi semua urusan rasmi.
Selaras dengan usaha dan komitmen tersebut, Ahli Lembaga Pengarah dan staf syarikat adalah dilarang sama sekali untuk mempunyai kepentingan peribadi, kewangan atau kepentingan dengan pihak ketiga yang terlibat dengan apa-apa urusan rasmi dengan syarikat.
Ahli Lembaga Pengarah dan staf syarikat adalah dilarang menyalurkan apa-apa maklumat terperingkat berkaitan syarikat dengan tanpa kebenaran Pengurusan Tertinggi Syarikat yang membolehkan pihak ketiga mendapat manfaat dalam apa-apa urusan rasmi Syarikat.
Ahli Lembaga Pengarah dan staf syarikat adalah dilarang menjalankan apa-apa bentuk transaksi dengan menggunakan akaun peribadi dengan pihak ketiga yang mempunyai urusan rasmi dengan syarikat.
Ahli Lembaga Pengarah dan staf syarikat adalah dilarang menerima yuran, komisen atau apa-apa barangan bernilai daripada pihak ketiga yang mempunyai urusan rasmi dengan syarikat.
Ahli Lembaga Pengarah dan staf syarikat adalah dilarang menggunakan kedudukan rasmi untuk mengembangkan kemajuan kerjaya ahli keluarga di dalam syarikat.
Ahli Lembaga Pengarah dan staf syarikat yang memohon apa-apa faedah peribadi bagi mendapatkan sesuatu daripada kerajaan negeri atau agensi kerajaan negeri atau persekutuan di atas apa-apa projek berkaitan yang sedang atau akan dimajukan oleh syarikat hendaklah mendapatkan kelulusan syarikat terlebih dahulu.
PENGISYTIHARAN KEPENTINGAN
Mana-mana staf yang mempunyai percanggahan kepentingan di dalam apa-apa sahaja proses kerja rasmi hendaklah mengisytiharkan kepentingannya secara bertulis kepada Pengarah Urusan syarikat.
Pengarah Urusan syarikat hendaklah dengan segera menggantikan mana-mana staf yang telah mengisytiharkan kepentingannya dengan staf lain yang tidak mempunyai kepentingan dalam proses kerja tersebut.
Staf yang mempunyai percanggahan kepentingan dan terlibat membuat keputusan dalam mana-mana mesyuarat hendaklah mengisytiharkan kepentingannya secara lisan kepada mesyuarat serta meninggalkan mesyuarat tersebut.
Urus setia mesyuarat hendaklah merekodkan pengisytiharan kepentingan dan tindakan staf tersebut meninggalkan mesyuarat di dalam minit mesyuarat.
Pengisytiharan kepentingan juga boleh dibuat secara bertulis dengan menggunakan Borang Pengisytiharan Kepentingan seperti di Lampiran A, jika pengisytiharan tersebut tidak di minit dalam mana-mana mesyuarat.
Pengarah Urusan syarikat boleh atas pertimbangannya untuk menurunkan tanggungjawab dan kuasa seperti termaktub dalam perkara berkaitan kepada mana-mana pegawai yang kompeten bagi tujuan kelancaran pelaksanaan polisi ini.
Pengisytiharan kepentingan yang melibatkan Pengarah Urusan atau Ahli-ahli Lembaga Pengarah boleh dibuat terus kepada Lembaga Pengarah Syarikat seberapa segera.
KEGAGALAN PENGISYTIHARAN KEPENTINGAN
Kegagalan atau keengganan untuk mematuhi Polisi ini boleh disifatkan sebagai ingkar perintah dan dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Dan Kelakuan Tatatertib FELCRA Berhad Dan Prosedur Tatatertib FELCRA Berhad (Pindaan 2020) atau mana-mana peraturan yang ditetapkan oleh syarikat.
Pelanggaran Polisi ini oleh pihak ketiga, pihak syarikat selepas pertimbangan wajar bolehlah memaklumkan kepada Pihak Berkuasa yang berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
PENUTUP
Polisi ini akan menjadi garis panduan dan rujukan kepada semua Ahli-ahli Lembaga Pengarah dan staf Diversatech (M) Sdn Bhd di dalam melaksanakan tugasan harian tanpa membelakangkan hala tuju syarikat sebagai sebuah organisasi yang berdaya saing.
Polisi ini berkuatkuasa mulai 01 Ogos 2025.
HUBUNGI KAMI
Pegawai Integriti, Diversatech (M) Sdn Bhd
A-01-02, Jalan Medan PB5, Paragon Points, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor
Tel : +603 8926 3103
Faks : +603 8925 3103
Email : [email protected]
ATAU
Kumpulan Integriti FELCRA BERHAD
Wisma Felcra, Lot 4780, Jalan Rejang, Setapak Jaya, Peti Surat 12254, 50772 Kuala Lumpur, Malaysia
Tel : 03-4145274
Email : [email protected]
Ikrar Integriti Korporat Diversatech (M) Sdn. Bhd.
5 PRINSIP ANTIRASUAH BAGI SYARIKAT-SYARIKAT DI MALAYSIA
Prinsip 1 : Komitmen untuk menggalakkan nilai integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik.
Prinsip 2 : Pengukuhan sistem kawalan dalaman yang menyokong pencegahan rasuah.
Prinsip 3 : Pematuhan undang-undang, polisi dan prosedur yang berkaitan dengan usaha memerangi rasuah.
Prinsip 4 : Pembanterasan segala bentuk gejala rasuah.
Prinsip 5 : Menyokong inisiatif pencegahan rasuah oleh kerajaan dan SPRM.
Mengiktiraf bahawa:
Prinsip Antirasuah bagi syarikat-syarikat di Malaysia, sebagaimana ianya boleh dipinda atau disemak dari semasa ke semasa, adalah merupakan prinsip di mana organisasi atau syarikat di Malaysia perlu memberikan komitmen untuk mempromosikan integriti, ketelusan dan tadbir urus terbaik dalam semua aspek operasinya;
Untuk menjalankan perniagaan yang bebas daripada rasuah, sejajar dengan Prinsip Antirasuah bagi syarikat-syarikat di Malaysia bagi menjaga kepentingan organisasi atau syarikat dan pemegang sahamnya, di mana rasuah boleh memusnahkan nilai pegangan saham, menjejaskan keyakinan para pelabur dan menghalang perkembangan mampan organisasi atau syarikat.
Bahawasanya kami, seluruh warga kerja Diversatech (M) Sdn. Bhd. berikrar:-
tidak akan, sama ada secara sendiri, atau wakil, atau melalui mana-mana ejen melakukan apa-apa kesalahan rasuah atau sebarang bentuk penyelewengan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang, termasuk tetapi tidak terhad kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 atau Kanun Keseksaan;
tidak akan menjalankan apa-apa amalan perniagaan, atau aktiviti-aktiviti yang memerlukan atau menggalakkan mana-mana pekerja, wakil atau ejen untuk melakukan sebarang bentuk kesalahan rasuah;
akan bersama-sama dengan pelanggan, rakan kongsi perniagaan, agensi kawal selia dan agensi penguatkuasaan undang-undang bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang bebas daripada rasuah;
akan mendukung Prinsip Antirasuah bagi syarikat-syarikat di Malaysia, dalam menjalankan perniagaan dan interaksi dengan pelanggan, rakan kongsi perniagaan, dan agensi Kerajaan; dan
akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan perbuatan yang boleh menggugat integriti serta menjatuhkan imej organisasi atau syarikat.
Ditandatangani oleh
MOHD RIDZUAN BIN MOHD NOR
Bagi Pihak
Diversatech (M) Sdn. Bhd.
Tarikh: 1 Julai 2025
Pengarah Urusan
Diversatech (M) Sdn. Bhd.